Peristiwa    Politik    Sosial    Budaya    Seni    Bahasa    Olahraga    Ekonomi    Pariwisata    Kuliner    Pilkada   
adsbybawean
Home » » Cabaran Bawa Watak 'Romzi'

Cabaran Bawa Watak 'Romzi'

Posted by Media Bawean on Sabtu, 12 Juli 2008

Media Bawean, 12 Juli 2008
Ekstra! : 12 Julai 2008
PEMENTASAN


Oleh : Zaharian Osman

WALAUPUN sudah hampir lapan tahun bergiat dalam teater, masih ada rasa gementarnya apabila Shahril Abdul Wahid melangkah ke Studio Teater Esplanade untuk pementasan Romzi dan Juleha (RnJ), hari ini dan esok.

Apatah lagi, membawakan watak pemuda Bawean yang bercinta dengan gadis daripada latarbelakang keluarga yang berbeza.

Meskipun sudah beberapa kali menjayakan pementasan teater sejak 2001, Shahril, 27 tahun, pemenang Anugerah Skrin 2006, mengakui berdebar-debar menantikan pementasan yang diadaptasi daripada karya penulis unggul, William Shakespeare, hasil garapan Denhasan.

'Saya perlu mendekatkan diri dengan watak Romzi dan mencintai Juleha untuk mendapatkan hasil lakonan yang berkesan.

'Ini benar-benar mencabar kewibawaan saya sebagai seorang aktor,' ujar beliau kepada penulis.

Banyak rujukan yang harus dilakukan kerana pementasan RnJ berbeza pendekatannya jika dibandingkan beberapa pementasan lain yang pernah dijayakannya.

Oleh kerana latar ceritanya berkisar sekitar era 1950-an, maka gaya pertuturan para pendukung watak juga agak berbeza sekali.

Kata Shahril lagi:

'Saya banyak bergaul dengan teman-teman untuk menghayati dan belajar gaya bertutur bahasa Bawean.'

Tidak setakat itu, Shahril juga banyak menghabiskan masa menonton filem-filem lama berunsur cinta dalam usaha mendalami watak yang dipegangnya.

Beliau diberi kebebasan untuk menakwilkan watak beliau oleh sutradara wanita prolifik, Atin Amat, tentang perincian, penghayatan dan lontaran dialog watak Romzi.

Apa antara dialog yang paling menyentuh perasaan?

Ungkap Shahril dengan penuh yakin:

'Abang benar-benar berhasrat untuk jadikan Leha isteri Abang.'

Itulah antara dialog yang harus diungkapkan dengan penuh emosi dan pasangan kekasih yang menonton pasti akan terasa keintiman adegan ini.

Watak Juleha, gadis berketurunan Jawa, dijayakan oleh Sheba Rai, seorang pelakon teater bertubuh kecil yang dianggap paling cocok digandingkan dengan Shahril - sekali pandang penulis pasti gandingan ini akan meninggalkan kesan pada mereka yang menonton drama ini kelak.

Pementasan akan berlangsung hari ini, 3 petang dan 8 malam, dan esok pada waktu yang sama.

Tiket-tiket berharga $19 (pelajar, termasuk $1 yuran Sistic) dan $28 (dewasa, termasuk $3 yuran Sistic).

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian Sistic di 6348-5555 atau lungsuri laman www.sistic.com.sg

SHARE :

Posting Komentar

 
Copyright © 2015 Media Bawean. All Rights Reserved. Powered by INFO Bawean