Media Bawean, 22 Juli 2008
HUKUM bertatu dalam ISLAM
BAHAYA dan GEJALA bertatu
BERTAUBAT dan MENGHILANGKAN tatu
ikutilah CERAMAH


Tarikh : 27 Julai, 2008 ( Ahad )
Waktu : 2.00 ptg – 5.30 ptg
Tempat :
Bukit Batok East Community Club
23 Bukit Batok East Ave 4 ,S’pore 659841
Penceramah : Ustaz Harunarrashid Zainudin ( Imam Eksekutif Masjid Tentera Di Raja )
Dr.Khairul Abdul Rahman ( Klinik Keluarga Eden )
Hj.Md. Yusof Ismail ( CEO Persatuan Ain , Kaunselor dan Pakar Motivasi )
Dapatkan Tiket masuk : Dewasa - $5.00 Remaja / Pelajar - $2.00
Bukit Batok East Community Club Tel : 65659330 , Hp 81370362 ( Puan Noor )
Persatuan Bawean Singapura Hp. : 9451 7610 ( Hj. Arifin )
Hp. : 9742 4291 ( Hj. Mohd. Seain )
Anjuran
JABATAN BELIA

dan sokongan
Majlis Ugama Islam Singapura
Majlis Ugama Islam Singapura

Masjid Tentera
Di Raja
Di Raja
Singapura : 21 Julai 2008
PBS ANJUR CERAMAH INTERAKTIF UNTUK REMAJA DAN IBU BAPAK
PERBUATAN memasang tatu - satu budaya yang sering dikaitkan dengan kegiatan samseng - masih berleluasa di kalangan belia Melayu.
Menyedari masalah tersebut yang terus meruncing, Persatuan Bawean Singapura (PBS) tidak mahu ketinggalan dalam usaha menunjuk jalan kepada mereka yang mahu 'cuci tangan'.
Bagi PBS, mereka yang terlibat dan pihak kaum keluarga mungkin kurang maklum dari segi hukum bertatu dalam Islam, bahaya dan gejala memakai tatu.
Namun, mereka belum terlambat - masih boleh bertaubat dengan menghilangkan tatu di badan.
Kesemua persoalan itu akan dihuraikan dalam ceramah interaktif anjuran PBS di Kelab Masyarakat Bukit Batok East di Bukit Batok East Avenue 4 pada 27 Julai ini.
Ceramah berjudul 'Tatu of Tatoo' selama lebih tiga jam itu berlangsung dari 2 hingga 5.30 petang.
Panel ceramah ialah Imam Eksekutif Masjid Tentera Diraja, Ustaz Harunarrashid Zainudin; doktor daripada Klinik Keluarga Eden, Dr Khairul Abdul Rahman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain yang juga pakar motivasi, Haji Mohd Yusof Ismail.
Setiausaha agung kehormat PBS, Haji Morni Sulaiman, berkata:
'Kami ingin memberi kesedaran kepada remaja dan ibu bapa tentang bahaya bertatu dari segi agama Islam, kesihatan dan sosial.
'Menerusi ceramah ini moga-moga remaja-remaja yang bertatu insaf dan balik ke pangkal jalan.'
Sesi ceramah tersebut dianjurkan dengan kerjasama Masjid Tentera Diraja di Clementi yang merintis program membuang tatu bersama Klinik Keluarga Eden.
Menurut beliau, sasaran ceramah yang diharap dapat menarik 600 orang itu termasuklah ibu bapa dan murid-murid sekolah menengah, maktab rendah, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Tamu terhormat ceramah itu ialah Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Halimah Yacob.
Bayaran masuk untuk menghadiri ceramah ialah $5 seorang bagi dewasa dan $2 bagi remaja dan pelajar.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket di Kelab Masyarakat Bukit Batok East atau dengan menghubungi talian 6565-9330 atau 8137-0362 (Cik Noor).
Mereka juga boleh menghubungi anggota jawatankuasa PBS di talian 9451-7610 (Haji Arifin) atau 9742-4291 (Haji Mohd Seain).
http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,123186,00.html
Sebahagian besar yang bertatu anggapnya hiasan menarik
Ramai pula mengaku tatu sebagai lambang sepakatan dan penglibatan dalam kumpulan samseng
By Saini Salleh
SEBAHAGIAN besar golongan yang memasang tatu mendakwa berbuat demikian kerana mendapatinya menarik untuk dijadikan perhiasan tubuh atau menganggapnya sebagai satu seni.
Tetapi, apa yang membimbangkan ialah ramai daripada mereka mengaku tatu di badan mereka merupakan lambang sepakatan dan penglibatan dalam kumpulan samseng atau kongsi gelap.
Mereka juga didapati jahil mengenai tatu pelbagai rupa dan warna yang dicacah dari sudut agama.
Namun, mereka kini menyesal kerana tatu yang dicacah itu turut menimbulkan masalah lebih-lebih lagi dalam pergaulan harian - dipandang serong oleh masyarakat sekeliling.
Kesimpulan tersebut dinyatakan oleh Imam Eksekutif Masjid Tentera Diraja, Ustaz Harunarrashid Zainudin, dalam membincangkan mengenai trend mengenakan tatu yang dikatakan berleluasa di kalangan remaja Melayu.
Ini berdasarkan sekitar 130 orang yang telah mendaftarkan nama bagi membuang tatu masing-masing di bawah program menghilangkan tatu yang dikenali sebagai 'Mudik ke Hulu' kelolaan masjid itu dengan kerjasama Klinik Keluarga Eden.
Program bersubsidi yang diperkenalkan pada 2006 dan dilancarkan semula pada 2007 itu disokong oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Di bawah program itu, peserta diperlukan menjalani kaunseling dan pembangunan diri selain ditawarkan rawatan membuang tatu pada harga bersubsidi 50 peratus.
Dari segi profil, Ustaz Harunarrashid menyatakan para peserta program itu berusia antara 13 tahun dengan 52 tahun.
Tetapi, 80 daripada 130 peserta atau hampir 62 peratus merupakan belia bawah 20 tahun - sesuatu yang memprihatinkan.
Pendidikan mereka rendah - daripada tercicir persekolahan kepada Institut Pendidikan Teknikal sehinggalah peringkat sekolah menengah.
Antara lambang tatu yang sering dilihat pada belia Melayu termasuklah ular tedung, burung helang, salib, naga, tiga titik pada buku jari yang dikenali sebagai tiam dalam bahasa Hokkien yang bermakna kaki gaduh.
'Para peserta yang ditemu bual menyatakan memasang tatu adalah satu trend di kalangan remaja termasuk remaja Melayu. Mereka kata ramai yang memasang tatu kerana mendapatinya cantik, menganggapnya satu seni dan sekadar ikut-ikutan.
'Inilah yang ibu bapa perlu waspada kerana apabila badan anak-anak ada tatu, banyak masalah yang bakal mereka hadapi.
'Mereka selalu rasa kekok dan tidak selesa ketika bercampur dengan orang awam.
'Selain masalah itu, mandi hadas besar dan wuduk mereka tidak sah. Sedihnya, sesetengah ibu bapak jahil akan soal ini,' tambah Ustaz Harunarrashid.
Program masjid tarik belia bertatu pulang ke pangkal jalan
BUANG tatu hanyalah satu aspek program untuk menarik belia yang terlibat dalam kegiatan memakai tatu pulang ke pangkal jalan.
Lebih penting lagi ialah program 'Mudik ke Hulu' yang dirintis oleh Masjid Tentera Diraja itu bertujuan meniup angin perubahan pada diri mereka yang terlibat.
Imam Eksekutif masjid tersebut, Ustaz Harunarrashid Zainudin, berkata:
'Memang membuang tatu itu menjadi harapan kami kepada mereka yang mahu berbuat demikian. Alhamdulillah sekurang-kurangnya mereka sudah mula sedar atas kesilapan yang dilakukan.
'Tetapi, yang lebih penting ialah langkah selanjutnya iaitu menarik mereka ke jalan yang diredai Allah seperti menggalak mereka belajar agama, mendekatkan diri kepada kegiatan masjid dan memulakan hidup baru.'
Menurut Ustaz Harunarrashid, membuang tatu memang mengambil masa agak panjang dan mahal lebih-lebih lagi tatu yang bersaiz besar.
Oleh itu, agak sukar bagi golongan yang mahu 'cuci tangan' tambahan pula jika tatu di tubuh mereka belum dibuang sepenuhnya.
'Tetapi, kami galakkan mereka agar mengenakan pakaian yang menutup tatu di badan agar tidak menimbulkan fitnah atau salah anggapan,' ujar beliau.
Ustaz Harunarrashid berkata usaha pihaknya telah menampakkan hasil dengan penglibatan belia yang mahu dan telah membuang tatu dalam kegiatan anjuran masjid.
Ini termasuklah dalam acara sukan antara masjid-masjid baru-baru ini, acara korban tahun lalu dan pengagihan bubur pada Ramadan yang akan datang.
'Kami juga melibatkan ibu bapa atau anggota keluarga mereka mengenai masalah memakai tatu dari sudut agama.
'Ini penting kerana merekalah yang selalu bersama dan mendidik anak-anak,' jelas Ustaz Harunarrashid.
Pihaknya merancang untuk meluaskan program 'Mudik ke Hulu' dengan melibatkan lebih banyak masjid untuk sama-sama menarik lebih ramai belia bertatu pulang ke pangkal jalan.
Posting Komentar