Media Bawean, 21 November 2012
APABILA Allahyarham Haji Ahmad Dawan bersara daripada jawatannya sebagai pengarah dan konsultan R.E. Morris & Co enam tahun lalu, syarikat khidmat membekal dan memasang alat konduktor kilat canggih itu melabuhkan tirai.
Ia sedar pemergian pakar kilat itu tiada gantinya kerana Allahyarham membawa bersamanya pengalaman dan kepakaran lebih 50 tahun dalam bidang mengalirkan cas elektrik daripada kilat terus ke bumi.
Sebagai konsultan, beliau bertanggungjawab tentang pemasangan alat konduktor, atau pengaliran kejutan elektrik, di bumbung bangunan dan kerap memberi penerangan dan khidmat perunding cara kepada jurutera dan pemaju mengenai jenis alat konduktor yang sesuai.
Allahyarham, 80 tahun, meninggal dunia akibat barah paru-paru kelmarin dan dikebumikan semalam.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham berbakti dalam pelbagai bidang, termasuk sukan sepak takraw, kemasyarakatan dan pemulihan penagih dadah.
Beliau menubuhkan Kelab Sepak Takraw Bawean Putra pada 1956 dan pernah menjadi jurulatihnya yang mencapai banyak kejayaan.
Anak bongsu Allahyarham, Cik Noor Widiyahti Ahmad, berkata bapanya tegas sewaktu mengadakan latihan namun sangat mengambil berat kebajikan pemain.
"Bapa saya sangat komited pada kelab itu. Menjelang setiap perlawanan, dia berusaha sedaya upaya mendapatkan penaja. Kadangkala dia pulang lewat hingga 3 pagi daripada perlawanan atau mesyuarat dengan Perses (Persekutuan Sepak Takraw Singapura)," kata Cik Widiyahti, 40 tahun.
Menurutnya lagi, Allahyarham suka berjenaka namun tegas ketika membuat keputusan dan tidak keberatan menyuarakan pendapatnya.
Pada 1992, Allahyarham menubuhkan rumah peralihan bekas penagih dadah Taman Inabah Sri Bawean Putra dengan sebahagian perbelanjaan ditanggungnya. Ia ditutup pada 1996 dek kekurangan dana.
Bekas pemimpin Persatuan Bawean Singapura (PBS) itu pernah diberi anugerah tertinggi badan tersebut, Anugerah Bawean Teladan.
Pada 2008, beliau diberi penghormatan antarabangsa di Kongres Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Bangkok.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg