Media Bawean, 1 Aril 2011
Sumber : Cyberita Online Singapura
BUDAYA dan istiadat suku Bawean di Batam masih utuh di sebalik arus permodenan, pembangunan pesat dan kemajuan teknologi maklumat di pulau itu.
Ini kerana masyarakat suku Bawean di pulau tersebut masih tinggal dalam kelompok mereka sendiri dan kuat berpegang kepada budaya, agama dan adat istiadat turun-temurun.
Ditemui di Kampung Seipanas dan Bengkong Harapan II, mereka juga masih 'pekat speaking' bahasa asal mereka, mengamalkan tradisi turun-temurun seperti majlis cukur rambut, Maulud Nabi dan perayaan Islam yang lain.
Mereka masih lagi memainkan kerincing, pencak silat dan masak-memasak juadah asli Bawean di tengah-tengah kemajuan dek tempias pembangunan pesat di Singapura.
Salah seorang penduduk, Encik Subari Abu Mahsyor, 59 tahun, berkata: 'Inilah sikap orang Bawean, ke mana mereka pergi mereka akan kekalkan budaya dan istiadat turun-temurun.
'Ini kerana bila kami berhijrah ke negara lain, kami tetap ingat dan pegang pesan orang-orang tua yang mahu kami kekalkan budaya dan adat istiadat Bawean tidak kira ke mana kami pergi.
'Oleh itu kami memastikan anak cucu dan generasi akan datang terus mengamalkannya.'
Amalan turun-temurun itu, termasuk semangat gotong-royong, terserlah di sebuah rumah seorang penduduk di Bengkong Harapan II yang kebetulan sibuk membuat persiapan bagi majlis cukur rambut.
Tuan rumah, Cik Arlisa, 32 tahun, asal Pudakit Timur, Pulau Bawean, mengadakan majlis cukur rambut yang disertai berzanji bagi anak saudaranya yang berusia sebulan, Afifah Kanaya Zahra.
Sekitar 12 kaum wanita - saudara-mara dan jiran tetangga tuan rumah - sibuk memasak seperti lauk kocor atau gulai ayam dan kambing.
Sambil menyiapkan ketan poteh (pulut) dengan lauk ikan asin, Cik Arlisa berkata: 'Beginilah sifat gotong-royong masyarakat keturunan Bawean yang masih utuh di sini.
'Di Singapura dah tak ada macam ini... semuanya pakai order dan katering. Semangat macam ini mengukuhkan silaturahmi dan menjimatkan wang.'
Bagi beliau dan masyarakat Bawean di Batam, sesuatu bangsa itu akan pupus jika budaya dan adat istiadat turun-temurun tidak dilestari.
Posting Komentar