Media Bawean, 1 April 2011
Sumber :Cy Berita Online Singapura
Perahu sama perahu
Terkandas pula di batu karang
Tahu sama tahu
Tapi jangan bilang orang
PANTUN empat kerat itu sempat Encik Umam Jadi ungkapkan sambil berseloroh ketika menyingkap pengalaman beliau melakukan kerjakerja terlarang - menyeludup masuk dan membawa orang serta barangbarang tanpa cukai ke Singapura - dengan hanya menggunakan perahu dayung atau ciau.
Menceritakan pengalaman melakukan kerja-kerja terlarang itu dalam 1970-an, ayah lima anak dan 10 cucu itu menyatakan bahawa selepas tiba di Tanjong Langsat, di Johor, dengan perahu layar bersama 27 penumpang dari Pulau Bawean, mereka cuba memasuki perairan Singapura dengan mendayung perahu ciau pula ke Punggol.
Perahu tersebut sarat membawa enam penumpang.
'Suasana gelap gelita... tiba-tiba kami dengar bunyi enjin bot polis marin di bekalang kami. Satu persatu terjun dan bersembunyi di pohon bakau.
'Tikar-tikar mengkuang yang kami bawa semuanya habis dibawa arus.
'Perlahan-lahan kami berjalan ke pantai dan terus berjalan ke kawasan dekat Kubur Bidadari. Selepas bertanya orang, kami akhirnya ditemukan dengan paman saya dari Pulau Bawean di sebuah ponthuk (pondok) di Serangoon,' tambah beliau yang kini dianggap tokoh masyarakat Bawean di Batam dan Kepulauan Riau.
Menurut Encik Umam, 65 tahun, beliau bekerja secara haram di tapak-tapak binaan, termasuk di Pasar Alexandra, ketika berada sekitar sembilan bulan di Singapura.
'Saya dan empat rakan dari Bawean ditangkap polis sejurus selesai menjadi imam solat asar di Masjid Bidadari. Kami tak dapat lari kerana dah dikepung polis PRU (Unit Polis Simpanan),' kata beliau sambil tertawa.
Beliau meringkuk sekitar sebulan di Penjara Reman Queenstown.
Selepas dibebaskan, beliau kembali menjalankan kerja-kerja menyeludup orang dan barang-barang tanpa cukai dari Tanjong Pinang dan Batam ke Singapura menerusi Tanjong Langsat di Johor.
'Saya tak serik ikut taikong kerana pendapatannya lumayan. Tapi akhirnya saya berhenti buat kerja smukel (menyeludup) kerana mahu hidup bersama keluarga,' tambah beliau sambil menjeling ke arah isterinya, Cik Rahimah Marfadah, 56 tahun.
Beliau, yang menetap di Bengkong Harapan II, mengakui bahawa sukar melupakan kenangan pahit di Singapura dan mengakhiri perbualan dengan mengungkapkan pantun berikut:
Sangkapura (Singapura) tak rupa-rupa.
Sapu tangan phuduk ke lumpur.
Eson na lupa, bule tak bisa lupa.
Hanya lupa sebentar waktunya tedung.
Posting Komentar