Peristiwa    Politik    Sosial    Budaya    Seni    Bahasa    Olahraga    Ekonomi    Pariwisata    Kuliner    Pilkada   
adsbybawean
Home » , » Lestarikan Bahasa & Budaya Bawean
Di Singapura

Lestarikan Bahasa & Budaya Bawean
Di Singapura

Posted by Media Bawean on Sabtu, 13 April 2013

Media Bawean, 13 April 2013 


Meskipun sudah berusia 79 tahun, Persatuan Bawean Singapura (PBS) masih rancak menganjurkan kegiatan untuk manfaat para anggota dan masyarakat suku Bawean umumnya. Selain menjalin hubungan akrab dengan kaum “sebendera” di tanah leluhur di Pulau Bawean, PBS juga akan mengadakan kunjungan ke tiga negeri di Malaysia yang ramai penduduk suku Baweannya pada Jun ini bagi terus memulihara seni budaya agar tidak lapuk dek zaman. Presidennya, Haji Faizal Wahyuni, yang telah jatuh bangun bersama persatuan tersebut hampir 15 tahun lalu, mengongsi visi dan harapannya melalui temu bual dengan SAINI SALLEH (saini@sph.com.sg) dalam laporan berikut.

SEPTEMBER lalu, Persatuan Bawean Singapura (PBS) membawa masuk dua kumpulan budaya seramai 40 orang dari Pulau Bawean untuk menjayakan pementasan drama dua babak berjudul Dhinaju sempena Pesta Budaya Bawean di Pusat Konvensyen Politeknik Singapura.

Inilah kali pertama pementasan drama Bawean diadakan di sini selepas dilanda kegersangan lebih 15 tahun.

Meskipun pementasan tersebut tidak membawa keuntungan, ia mencapai matlamat PBS mahu mempromosi dan memulihara seni budaya dan tradisi Bawean di tengah-tengah masyarakat kosmopolitan di sini.

Menyatakan hal itu, Presiden PBS, Haji Faizal Wahyuni, berkata usaha memulihara warisan leluhur itu tidak terhenti setakat itu.

Ini kerana PBS akan menganjurkan kunjungan ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia yang ramai penduduk Bawean bagi meningkatkan jalinan serantau dan diaspora Bawean.

Kunjungan lima hari pada Jun ini meliputi Ipoh, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Ulu Tiram, Johor.

Tiga badan yang menjadi hos kunjungan PBS ialah Persatuan Perpaduan Bawean Kinta Perak; Persatuan Bawean Malaysia di KL dan Persatuan Bawean Johor.

"Selain meningkatkan hubungan sesama masyarakat yang sama bendera, kami juga mahu mengundang mereka menghantar wakil bagi menjayakan persidangan dan pesta budaya Bawean selama tiga bulan yang akan diadakan di sini pada tahun depan.

"Dalam sidang itu kelak, wakil-wakil daripada tiga negeri itu dapat mengongsi cabaran dan kehidupan sebagai masyarakat penghijrah dalam konteks suasana ekonomi dan politik yang berbeza.

"Kunjungan ini dimungkinkan kerana PBS telah menjalin hubungan dengan persatuan-persatuan masyarakat Bawean di ketiga-tiga negeri tersebut yang mahu melihat budaya dan bahasa Bawean tidak pupus ditelan zaman,'' jelas beliau.

Persidangan dan pesta tersebut masih dalam peringkat perbincangan dengan sebuah badan penganjur bersama.

Menurut Haji Faizal lagi, antara kegiatan yang diura-ura dalam pesta tersebut termasuk pertandingan pencak silat Bawean, Bawean Idol dan makanan asli Bawean dan pameran kehidupan masyarakat pondok Bawean.

Beliau menekankan segala kegiatan itu mencerminkan iltizam PBS bagi melestari bahasa dan budaya masyarakat Bawean setempat dan memastikan mereka tidak melupakan tanah leluhur tempat asal nenek moyang mereka yang berani mengharung gelombang untuk mencari kehidupan lebih baik di rantau orang.

"Kalau usaha-usaha melestari budaya dan bahasa Bawean tidak dijalankan, generasi muda Bawean tidak akan kenal asal usul mereka,'' tegas beliau.

Mengenai drama Bawean yang tidak menguntungkan itu, Haji Faizal berkata:

"Dari mula PBS dah jangka persembahan tidak akan membawa keuntungan kerana kos membawa dua kumpulan dari Pualau Bawean itu cukup tinggi.

"Selain kos tambang, tempat penginapan dan makan minum serta membawa mereka bersiar-siar kesemuanya PBS yang tanggung.

"Kutipan daripada tiket dan sumbangan daripada orang ramai hanya berjumlah $18,000 - lebih rendah daripada biaya keseluruhan yang mencecah $25,000.

"Tetapi, kekurangan tersebut dapat PBS tampung menerusi nasi beriani amal yang kami anjurkan bulan lalu. Yang penting matlamat PBS untuk lestari budaya dan kesenian Bawean di sini telah tercapai,'' tegas beliau. 

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/ 

SHARE :
 
Copyright © 2015 Media Bawean. All Rights Reserved. Powered by INFO Bawean