Media Bawean, 23 September 2009
Sumber : KOSMO
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my
Lontong yang popular dalam kalangan masyarakat Bawean, yang berasal dari Indonesia, kini diterima di Malaysia. Apakah keistimewaannya?
Sumber : KOSMO
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my
Lontong yang popular dalam kalangan masyarakat Bawean, yang berasal dari Indonesia, kini diterima di Malaysia. Apakah keistimewaannya?

"KALAU masyarakat Melayu di sini wajib ada ketupat dan rendang untuk juadah Aidilfitri, kami masyarakat Bawean kena makan lontong. Kalau hendak dibandingkan untuk menyediakan ketupat dan lontong, rasanya lontong lebih mudah kerana ia tidak perlu dianyam," kata pengusaha lontong, Ermaniah Masjuri, 49.
Menurut ibu kepada sepuluh anak itu, lazimnya mereka akan menyediakan lontong dua hari sebelum hari raya. Ini kerana lontong enak dimakan selepas ia disejukkan pada suhu bilik.
Seperti ketupat, proses memasak lontong juga mengambil masa antara enam hingga lapan jam. Rasanya tidak jauh beza dengan ketupat kerana menggunakan beras sebagai bahan utama.
"Cuma kelongsong ketupat diperbuat daripada daun kelapa, manakala lontong menggunakan daun pisang," ujarnya yang pantas menyiapkan sepuluh kelongsong dalam masa kurang 15 minit.
Lontong adalah makanan tradisi masyarakat Bawean yang berasal dari Pulau Bawean, Indonesia. Mengikut kiraan geografi, pulau itu terletak di Laut Jawa dan kira-kira 80 batu di sebelah utara Surabaya, Indonesia.
Mudah
Ironinya di Pulau Bawean lontong dimakan bersama rojak, soto, gulai dan kuah lodeh. Namun kerana proses pembuatannya yang mudah, lontong banyak ditemui di kedai-kedai makan di banyak daerah di Indonesia dan restoran-restoran di Malaysia.

"Sejak kecil saya didedahkan dengan sajian lontong walaupun di Malaysia nasi merupakan menu utama.
"Disebabkan saya berketurunan Bawean maka ibu dan ibu saudara sentiasa menghidangkan lontong. Secara tidak langsung, ia mengajar saya mengenali makanan ini dan tidak melupakan asal usul kami," kata Ermaniah.
Ermaniah mula belajar membuat lontong sejak umurnya sepuluh tahun. Mengakui pada peringkat awal dia hampir berputus asa, jelasnya: "Lontong buatan saya beberapa kali pecah ketika direbus."
Anak kelahiran Segambut, Kuala Lumpur itu menerima banyak tempahan lontong setiap kali lebaran dan kenduri-kendara.
Sambil menyemat lidi kecil di pangkal kelongsong lontong, Ermaniah menjelaskan ada dua faktor yang menyebabkan lontong pecah. Pertama, beras yang diisi dalam daun pisang yang nipis, kedua mungkin ikatan di bahagian hujung dan pangkal yang diikat tidak kuat.
Pisang batu
Kenyataan Ermaniah turut disokong oleh ibu saudaranya, Rosnah Jaafar, 55. Menurut Rosnah, mengikut tradisi masyarakat Bawean di Indonesia, lontong wajib dibuat menggunakan daun pisang batu.

"Bahagian luaran lontong di Bawean berwarna hijau pekat kerana kami menggunakan daun pisang batu. Sebaliknya, di Malaysia bahagian luar lontong tidak begitu hijau kerana sukar untuk mendapatkan daun pisang batu.

Ibu kepada empat orang anak itu sempat menceritakan pengalamannya pulang ke kampung halamannya di Kampung Gunung Teguh, Pulau Bawean, Indonesia.
Rosnah yang fasih berbahasa Melayu dan Bawean menjelaskan, baik sarapan pagi, tengah hari dan makan malam majoriti penduduk kampung gemar menikmati lontong. Agak sukar melihat penduduk kampung menjamu selera dengan nasi putih dan lauk-pauk.

"Mereka tidak pernah bosan membuat dan menikmati lontong setiap hari. Bahkan, ia boleh dimakan pada bila-bila masa. Jika lontong melalui proses pembuatan dan sukatan yang betul maka ia boleh bertahan antara dua hingga tiga hari," ujar Rosnah ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Seri Pechala, Damansara, Kuala Lumpur.
Kepada yang berminat mempelajari cara memasak hidangan lontong, sila hubungi Rosnah di talian 012-224 6732.
Pangilan Boyan
Berbicara mengenai masyarakat Bawean yang sebahagiannya besarnya adalah penduduk tetap Malaysia, Timbalan Presiden Persatuan Bawean Malaysia, Ahmad Nazar Salleh, 62, memberitahu, sebanyak 99 peratus rakyat Malaysia menggelarkan kelompok itu dengan panggilan nama Boyan.

Tambah Ahmad Nazar, kehidupan dan sosioekonomi masyarakat Bawean di Malaysia dan Indonesia jurangnya terlalu berbeza. Di Pulau Bawean, rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Mereka bekerja sebagai pesawah, petani dan nelayan.
"Warga emas di sana banyak bergantung pada wang kiriman anak-anak mereka yang mencari rezeki di Malaysia. Daripada wang tersebut mereka berpeluang membeli makanan dan mengubah rumah dari rumah berdinding zink pada rumah batu.
"Kesempitan hidup banyak mengajar mereka supaya berjimat-cermat dan berbelanja ala kadar. Salah satu caranya mengukus nasi berbanding menanak dalam periuk. Ini kerana nasi yang dikukus tidak akan meninggalkan kerak dan setiap butir nasi boleh dimakan," kata Ahmad Nazar.
Posting Komentar