Media Bawean, 1 April 2011
Sumber : Cy Berita Online Singapura
PETUALANG BAWEAN DI PULAU BATAM
Kehidupan lebih baik berbanding kampung asal
Oleh
Saini Salleh
BATAM - pulau yang dianggap syurga oleh lelaki yang melencong ke sana - mempunyai sejarah petempatan masyarakat keturunan asli Bawean yang kurang diketahui umum.
Tidak ramai pengunjung, termasuk dari Singapura, yang menyedari hakikat bahawa mereka adalah antara golongan pendatang pertama yang membuka tanah untuk bermastautin di pulau itu pada awal 1960-an.
Kunjungan dua hari Berita Harian ke pulau tersebut baru-baru ini mendapati masyarakat keturunan Bawean tinggal di dua buah 'Kampung Boyan' - Seipanas atau Sungai Air Panas dan Bengkong Harapan II - yang terletak sekitar setengah jam perjalanan dengan kenderaan dari terminal feri Harbour Bay, dulunya dikenali sebagai Batu Ampar.
Ditaksirkan terdapat sekitar 5,000 penduduk keturunan Bawean di Batam.
Mereka merupakan antara gelombang pendatang Bawean yang berani menyabung nyawa meredah samudera luas demi memulakan kehidupan baru di negeri orang.
Tidak seperti masyarakat keturunan Bawean yang berhijrah ke Singapura dalam zaman penjajahan British sekitar 1940-an, mereka dikatakan 'tersadai' di Batam dalam 1960-an kerana tidak lagi dapat memasuki Singapura tanpa dokumen yang sah.
Ketika itu Singapura telah pun berada dalam Malaysia dan kemudian merdeka.
Salah seorang perintis masyarakat Bawean itu ialah Encik Oshi, 70 tahun.
Menurut beliau, selepas tiga tahun bekerja secara tidak sah di Singapura, beliau dan dua rakannya membuka tanah yang dijadikan rumah di Kampung Jodoh, dekat Nagoya, dalam 1969.
Sejak itu semakin ramai masyarakat suku Bawean yang menyertai beliau sehingga kampung itu dikenali sebagai 'Kampung Boyan' pertama di Batam.
Penduduk Kampung Jodoh berpindah ke Seipanas dan Bengkong Harapan II apabila kampung tersebut ranap dijilat api dalam 1990-an.
Encik Oshi kesal kerana terlepas peluang bermastautin di Singapura - tempat ramai rakan dan saudara-maranya mengecap hidup mewah.
Salah seorang anaknya, Cik Murniyati, menetap di Woodlands selepas berkahwin dengan rakyat Singapura.
'Flat anak saya dulu hanya berharga $60,000 tapi sekarang dah naik lima kali lipat,' keluh beliau sambil mengunyah ranginang (sejenis keropok yang dibuat daripada nasi atau pulut) yang tersaji di meja.
Seorang tokoh masyarakat Bengkong Harapan II, Encik Umam Jadi, 65 tahun, berkata kehidupan perantau Bawean di Batam adalah lebih baik daripada kampung asal mereka.
Seperti kekesalan yang dilahirkan Encik Oshi, beliau berkata: 'Kehidupan di sini lebih senang, lebih moden dan pendapatan agak lumayan. Tapi orang Bawean di Singapura jauh lebih senang dan lebih maju berbanding kami di sini.'
Kunjungan Berita Harian mendapati selain dua kampung itu, masyarakat asal Pulau Bawean juga tinggal di rumah-rumah teres di beberapa estet perumahan mewah di Batam.
Di estet perumahan mewah Putri Mas, Batam Centre, kaum keluarga Cik Vika Farah Medya, bintang sinatron Indonesia asal Pulau Bawean yang pernah berlakon dalam tiga episod drama bersiri Cinta Fitri, tinggal di situ.
Beliau, yang menetap di Jakarta, dalam rangka meninjau kemungkinan membuka restoran di pulau itu.
'Sebenarnya peluang ada di mana-mana asal kita rajin berusaha,' kata Cik Vika, gadis bermata galak berusia 23 tahun, yang pernah menjadi finalis peraduan Cover Girl majalah Aneka Yess dalam 2004.
Beliau pernah menjadi model sebelum terjun ke dunia sinetron, setahun sekali pulang ke kampung orang tuanya di Pulau Bawean.
Kepala Bahagian Kesejahteraan Rakyat (Kesra) Pemerintah Kota (Pemko) Batam, Haji Salim, 42 tahun, yang juga berketurunan Bawean, menyatakan bahawa masyarakat Bawean maju seiringan dengan pembangunan Batam.
'Orang Bawean merupakan masyarakat petualang, jadi mereka rajin berusaha mencari rezeki tidak kira di mana mereka merantau. Mereka mempunyai motivasi sendiri dan kerana itu kehidupan mereka lebih baik berbanding suku-suku lain dan di tempat asal mereka.
'Mereka juga tidak terlibat dalam gejala sosial disebabkan sikap orang tua yang mengambil berat terhadap nilai-nilai keluarga dan tata susila,' kata Haji Salim, ayah tiga anak yang berasal dari kelurahan Daun.
Menurut beliau, Pemko Batam tidak menjalankan program khusus bagi masyarakat Bawean kerana mereka bukan daripada golongan terpinggir.
Posting Komentar