Media Bawean, 13 April 2011
Sumber : Cyberita Online Singapura
SAYA merujuk kepada laporan Projek abadikan warisan dan sumbangan Melayu (BH, 21 Januari), Masih kuat berpegang pada adat istiadat dan agama (BH, 1 April) dan Anda tahu nama nenek moyang? (BM, 3 April).
Masyarakat Melayu Singapura yang berketurunan Bawean dianggarkan 100,000 jiwa. Namun, seni, kebudayaan serta sumbangan masyarakat Bawean di Singapura tidak banyak diketahui masyarakat umum.
Pernahkah kita menikmati seni budaya kercengan Bawean, samra, mandiling, jibul, dikker, korcak atau pencak penganten Bawean?
Masihkah kita ingat tentang acara thombuk - membanting duit syiling ke atas dulang tembaga yang selalu diadakan di majlis persandingan pengantin dalam tahun-tahun 1950-an?
Hidup bermasyarakat di pondok (phontuk dalam bahasa Bawean) merupakan cara hidup masyarakat awal Bawean yang bermastautin di Singapura.
'Tikyan' (bahasa Bawean) adalah konsep muafakat dan saling membantu (mirip takaful) yang diamalkan masyarakat Bawean apabila ada di antara ahli pondok yang mengalami kesulitan atau musibah.
Haruskah kita biarkan warisan tersebut hilang ditelan zaman tanpa sebarang kesan?
Sebagai mantan Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Bawean Singapura (PBS), saya mendapat tahu bahawa ketika menerajui persatuan itu, Encik Mansor Haji Fadzal (almarhum) telah menghasilkan sebuah laporan tentang masyarakat Bawean Singapura dengan kerjasama Malaysian Sociological Research Institute. Laporan yang bertajuk My Baweanese People dimuat dalam majalah Intisari II pada 1964.
Alangkah baiknya jika usaha rintisan almarhum itu dapat diteruskan PBS.
Saya ingin menyarankan agar PBS bekerjasama dengan Taman Warisan Melayu dan Berita Harian untuk menganjurkan satu peraduan mengarang Sejarah Warisan Masyarakat Bawean Singapura.
Saya juga ingin menyarankan agar PBS memainkan peranan lebih aktif membantu Taman Warisan Melayu mempromosikan seni budaya dan warisan sejarah masyarakat Bawean Singapura.
Usaha sedemikian dapat membantu melestarikan sejarah, sumbangan dan kebudayaan masyarakat Bawean di Singapura.
Generasi mendatang perlu diajak mengenali warisan moyang kita agar mereka tidak menjadi insan tanpa budaya.
Morni Sulaiman
Posting Komentar