Media Bawean, 6 April 2011
Cabaran Pertubuhan Suku Kaum Pikat Anak Muda Jadi Anggota
DALAM wawancara dengan akhbar ini tidak lama dulu, Yang Dipertua Persekutuan Jawa Al-Masakin (PJM), Haji Misiri Wathiman, berkata beliau kagum dengan semangat anak-anak muda Bawean yang mengambil berat akan persatuan mereka, Persatuan Bawean Singapura (PBS).
Ini termasuk ramai yang hadir dalam pertemuan Hari Raya Aidilfitri dan antaranya ialah orang-orang ternama di kalangan masyarakat Bawean.
Sebagai mantan eksko PBS, berdasarkan pengalaman saya, memang tidak dapat dinafikan bahawa majlis yang kami adakan selalunya mendapat sambutan baik dan memang umumnya ramai anak muda Bawean yang tidak malu mengenalkan diri mereka sebagai orang Bawean.
Cuma sayangnya, mereka sekadar mengaku orang Bawean tetapi tidak ramai yang mahu menganggotai PBS.
Ribuan orang Bawean menjadi warga setempat, tetapi cuma ratusan sahaja yang menjadi anggota PBS. Mereka cuma sokong majlis yang diadakan persatuan.
Alangkah baiknya jika lebih ramai anak Bawean menjadi anggota dan menyumbang tenaga, masa dan wang kepada PBS. Dengan sokongan kuat ini, pasti PBS lebih kukuh, selain mampu membangunkan bangunan tersergam indah bagi persatuan itu.
Dalam kesempatan ini, saya menyeru masyarakat Bawean agar tampil memberikan sokongan kepada PBS, sekali gus dapat memajukan masyarakat itu dan dapat terus menghidupkan semangat gotong-royong yang begitu terkenal di kalangan orang Bawean.
Saya harap PJM juga mendapat sokongan orang Jawa di sini. Dengan sokongan ramai orang Jawa, pasti PJM lebih kukuh dan dapat sama-sama membantu masyarakat itu makmur dan maju.
Malah, PJM dan PBS boleh saling membantu bagi mendapat dan melaksanakan idea-idea terbaik untuk mendapatkan sokongan lebih ramai anggota atau menjalankan projek secara bersama.
Haji Diman Ahadi
Posting Komentar