Rabu, 25 Juni 2025
Peristiwa    Politik    Sosial    Budaya    Seni    Bahasa    Olahraga    Ekonomi    Pariwisata    Kuliner    Pilkada   
adsbybawean
Home » » Mesyuarat Tentukan Masa Depan Badan Bawean

Mesyuarat Tentukan Masa Depan Badan Bawean

Posted by Media Bawean on Jumat, 22 Januari 2010

Media Bawean, 22 Januari 2010

Sumber : PORTAL CYBERITA ONLINE,
Oleh : Saini Salleh

MATI atau hidup Kelab Pondok Peranakan Gelam (PPGC), sebuah persatuan masyarakat Bawean berusia 78 tahun, akan ditentukan dalam satu mesyuarat tergempar esok.

Anggota persatuan yang pernah mempunyai pondok sendiri di Club Steet, dekat Chinatown itu, akan membuat penentuan sama ada meneruskan kegiatan atau membiarkannya terkubur.

Keputusan itu perlu dibuat kerana Pendaftar Persatuan memberi notis membubarkan PPGC yang didapati tidak lagi aktif.

Notis itu dikeluarkan menyusuli Warta Pemerintah bertarikh 13 November lalu, yang menyenaraikan persatuan tersebut sebagai tidak lagi wujud melainkan ia dapat menunjukkan bukti sebaliknya dalam masa tiga bulan kepada Pendaftar Persatuan.

Setiausaha agung kehormatnya, Encik Borhan Saini, berkata pihaknya tidak ada pilihan selain mengadakan mesyuarat tergempar.

'Memang kami dah lama tak adakan mesyuarat dan sebarang kegiatan sejak lima tahun lalu.

'Hasil perbincangan dengan beberapa anggota jawatankuasa, kami sepakat memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan hala tuju dan rancangan menghidupkan semula kelab kami,' kata Encik Borhan, yang memegang jawatan setiausaha sekitar 15 tahun lalu.

Beliau, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Wellcare Holdings International dan dibesarkan dipondok itu, berkata PPGC asalnya dibentuk bagi menjaga kebajikan golongan penghijrah dari pulau Bawean dalam 1932.

'Mereka menumpang teduh di pondok sementara mencari pekerjaan seperti sebagai tukang kebun dan drebar.

'Bagi yang bekerja sebagai drebar, kami juga membayar denda kesalahan trafik mereka.

'Di pondok, kami juga anjurkan kelas ukhrawi untuk anak- anak anggota dan menjalankan kegiatan khairat kematian. Malah, kami juga mengeluarkan biasiswa bagi anak-anak anggota yang berjaya dalam pelajaran,' tambah Encik Borhan.

Namun, PPGC semakin tidak bermaya apabila pondok atau ponthuk tersebut dikembalikan kepada pemiliknya dalam 2000.

'Kami hantar surat undangan mesyuarat kepada hanya 300 anggota kami. Itu pun berdasarkan rekod lama.

'Kami harap mereka yang tidak dapat surat kerana berpindah juga dapat menghadirinya,' tambahnya sambil menyatakan pejabatnya di Kembangan Court sebagai sekretariat sementara PPGC.

Melihat ke depan, beliau menyatakan bahawa mesyuarat tergempar itu akan memilih barisan anggota jawatankuasa baru dan membincangkan bentuk kegiatan bagi manfaat anggota.

Hasil minit mesyuarat itu akan diberi kepada Pendaftar Persatuan kelak.

Mesyuarat itu akan berlangsung di Pusat Kecemerlangan Persekutuan Sepaktakraw (Perses) di Nombor 7, Bedok North Street 2, #02-02, mulai 3.30 petang.

SHARE :
 
Copyright © 2015 Media Bawean. All Rights Reserved. Powered by INFO Bawean