Media Bawean, 27 Desember 2010
Sumber : CyBerita Online
MASYARAKAT Bawean Singapura digalak memanfaatkan kekuatan mereka sebagai sebuah masyarakat minoriti yang erat dan kukuh untuk sama-sama memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam dan Singapura amnya.
Mengalu-alukan semangat kemasyarakatan utuh di kalangan orang-orang Bawean di sini, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan) Encik Hawazi Daipi, berkata sedang mereka bergiat aktif dalam persatuan- persatuan orang Bawean, seperti Persatuan Bawean Singapura (PBS), mereka tidak harus menyendiri.
'Sebaliknya, kita harus mengambil segala peluang bagi meningkatkan diri dalam bidang pendidikan, pekerjaan, ekonomi serta memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam dan Singapura secara meluas,' kata Encik Hawazi.
Beliau berkata demikian semasa berucap di acara Karnival Keluarga PBS di Pantai Changi kelmarin.
Encik Hawazi memberi contoh bagaimana beberapa individu berketurunan Bawean bukan sahaja bergiat cergas dalam pertubuhan Melayu/Islam bahkan menyumbang dalam pertubuhan dan agensi nasional, seperti Allahyarham Mansor Haji Fadzal dan Haji Ridzwan Dzafir.
Beliau turut melahirkan rasa besar hatinya melihat masyarakat Bawean menggembleng tenaga dan menjalin hubungan erat di kalangan bukan sahaja keluarga sendiri bahkan masyarakat besar Bawean dan masyarakat bukan berketurunan Bawean.
'Oleh itu, saya ingin menggalak PBS agar terus menjayakan program-program sebegini bagi memupuk silaturahim di kalangan keluarga kita,' kata Encik Hawazi, yang juga berketurunan Bawean.
Karnival yang julung-julung kali diadakan itu menarik lebih 500 orang Bawean dan bukan Bawean.
Ia antara lain menyelitkan beberapa permainan menarik yang diberi julukan dalam bahasa Bawean.
Antara permainan yang dicuba Encik Hawazi selaku tetamu terhormat karnival itu ialah campak topi ke kepala, yang dinamakan ketuk oloh na, pancing ikan dalam besen, yang dinamakan celok tongkol, dan lontar gelang ke muncung botol, yang dinamakan keleng-kelengan.
Hadirin turut menyaksikan persembahan silat oleh Perguruan Pencak Sendeng dan didedahkan kepada budaya masyarakat Bawean seperti dendangan lagu-lagu Bawean dan makanan roti Bawean.
Setiausaha PBS, Hajah Rohanah Pagi, 58 tahun, berkata langkah sedemikian dapat memupuk keharmonian dan persefahaman serta mengeratkan hubungan antara masyarakat Bawean dan masyarakat lain di Singapura.
Posting Komentar