Media Bawean, 24 Desember 2010
Oleh : Diana Juri (Johor Bahru-Malaysia)
Kehangatan bola sepak terunggul Asia Tenggara yaitu Piala Suzuki kini semakin terasa bahangnya apabila ia melibatkan kesebelasan yang belum pernah memenangi kejuaraan ini yaitu Malaysia dan Indonesia. Sejak kejuaraan ini bermula pada 1996 hanya 2 negara sahaja yang berjaya memenanginya iaitu Singapura dan Thailand dimana masing-masing telah memenangi 3 kejuaraan. Manakala selama sejarah Piala AFF yang dulunya dikenali Piala Tiger, Indonesia tercatat sudah tiga kali menembus peringkat final iaitu pada tahun 2000, 2002, dan 2004.
Sementara Malaysia terakhir menembusi peringkat final pada tahun 1996 yang pada waktu itu dikalahkan oleh Thailand dengan skor akhir 0-1. Kebahangan ini semakin terasa apabila melibatkan 2 negara yang seringkali berlaku perselisihan faham namun pada Piala AFF kali ini diharap persengkataan diantara dua negara ini tidak dilibatkan. Tujuan Piala AFF itu sendiri hanya untuk mengangkat martabat bola sepak negara Asia dan mengeratkan hubungan antara negara asia melalui semangat kesukanan.
Jika kita melihat Indonesia dan Malaysia adalah dua negara yang memiliki persamaan dan keseragaman dalam berbagai hal. Paling mencolok dari fenomena tersebut adalah ras dan agama. Masing-masing negara didominasi oleh penduduk dengan ras Melayu dan beragama Islam. Persamaan itu secara otomatis menyebabkan banyaknya kesamaan budaya dan bahasa. Disebabkan persamaan ini ramai warganegara Indonesia (WNI) berhijrah ke Malayisa demi mencari rezeki kerana tidak sulit untuk mempelajari budaya dan bahasa di Malaysia. Menurut data Imigrasi Malaysia ada lebih kurang 2 juta WNI yang bekerja di Malaysia terdiri atas 1,2 juta TKI legal dan 800,000 ilegal telah bermukim di Malaysia sampai tahun 2007-2008. Para WNI ini telah bekerja selama bertahun-tahun di Malaysia sehingga sudah berstatus penduduk tetap di Malaysia serta mempunyai anak yang berkelahiran warganegara Malaysia. Sempena Piala AFF ini, kita tak menyentuh tentang perbalahan yang wujud antara dua negara ini tetapi ingin menyingkap apakah masih wujud rasa nasionalisme para WNI yang telah lama berada di Malaysia terhadap Indonesia dengan melihat sokongan mereka kepada perlawanan akhir Piala AFF 2010 antara timnas Malaysia dan timnas Indonesia.
Berdasarkan survei yang telah dibuat oleh pihak redaksi Media Bawean, sebanyak 90% para WNI yang telah lama berada di Malaysia serta mempunyai status penduduk tetap di Malaysia masih lagi mempunyai rasa nasionalisme terhadap Indonesia. Dimana mereka menyokong penuh timnas Indonesia berbanding Malaysia atas rasa cinta dan bangga menjadi Warganegara Indonesia. Walaupun dengan menyokong timnas Indonesia bukanlah satu bukti yang tepat untuk mengukur rasa nasionalisme, namun ia boleh dijadikan satu petunjuk rasa kepedulian dan cinta mereka terhadap tanah air. Melalui wawancara yang dibuat keatas salah seorang WNI yang bekerja di Malaysia iaitu Ibu Sadiyah berasal dari pulau Bawean yang telah mendapat status penduduk tetap di Malaysia, beliau menyokong penuh keatas timnas Indonesia kerana Indonesia merupakan tanah kelahiran beliau. Menurut beliau walaupun telah berada 26 tahun di Malaysia, Indonesia masih tetap dihatinya dan seringkali beliau mengingatkan anak-anaknya tentang asal-usul mereka.
Terdapat juga para WNI yang berada di Malaysia menyokong timnas Indonesia bukan hanya kerana rasa cinta mereka tetapi dilihat dari segi penampilan para pemain Indonesia pada kejuaraan kali ini yang amat membanggakan dan diyakini bisa menang ditambah lagi Malaysia telah ditundukkan 5-1 dibabak penyisihan Group B. Menurut seorang WNI yang berada di Johor Bahru, Malaysia. Encik Mansur mengatakan bahawa corak permainan pemain Indonesia pada kejuaraan ini sangat bagus dan berkualiti serta mempunyai semangat juang yang tinggi seperti Christian Gonzales, Firman Utina, dan Oktovianus Maniani. Beliau yang berasal dari Padang Sumatera berharap Indonesia bisa memenangi kejuaraan ini dan timnas bisa membangkitkan kembali kepercayaan rakyat terhadap ajang bola sepak nasional.
Namun bagi keturunan Indonesia yang dilahirkan di Malaysia, kebanyakannya menyokong timnas Malaysia yang menjadi tempat kelahiran mereka sebagai rasa cinta mereka. ‘Malaysia merupakan tempat kelahiran saya, tempat saya dibesarkan dan kini tanah ini juga tempat saya mencari rezeki begitu juga ibubapa saya. Jadi adalah tidak adil saya tidak menyokong pasukan tanah air saya sendiri.’ Ujar Ganda Himawan seorang pemuda kelahiran Malaysia yang berketurunan Bawean. Namun pemuda berusia 23 tahun ini mengatakan masih sangat berbangga dilahirkan berketurunan Bawean. Tinjaun yang dibuat hampir 80% anak kelahiran Malaysia keturunan Indonesia menyokong timnas tanah kelahiran mereka. Mereka rata-rata berpendapat walaupun corak permainan Malaysia tidak begitu memberangsangkan tetapi mereka tetap menyokong dan berharap pemain Malaysia dapat memperbaiki kesilapan yang lepas.
Manakala 20% lagi, mereka lebih memilih untuk bersikap menyokong kedua-duanya kerana Malaysia merupakan tanah kelahiran dan Indonesia pula tanah keturunan mereka. Pemilihan sikap ini didominasi oleh golongan perempuan yang mungkin juga mereka hanya ikut-ikutan untuk memeriahkan lagi kehangatan kejuaraaan Piala AFF 2010. Ada juga yang memilih keduanya disebabkan sukar untuk menentukan pilihan kerana keduanya negara yang masih berkait rapat di dalam hidup mereka. Sebagai contoh Chaliel Aksara Newden pengguna facebook yang memberi komen di Media Bawean, merasa binggung utk memilih yang mana kerana di Malaysia merupakan tempat banyak WNI yang mencari rezeki manakala Indonesia tanah kelahirannya.
Setelah dikaji, rasa nasionalisme sebenarnya masih wujud dan akan terus berkekalan didalam diri para WNI yang telah lama berada di Malaysia walaupun hanya dilihat melalui sokongan yang diberikan terhadap timnas Indonesia. Ini sudah cukup untuk menunjukkan satu kepedulian mereka terhadap Indonesia walaupun dimana mereka berada. Sebagai bukti hasil survei yang dilakukan oleh Lingkar Survei Indonesia (LSI) juga menunjukkan sebanyak 92.1% WNI merasa bangga sebagai orang Indonesia dan bersedia berperang untuk membela negaranya. ‘Apatah lagi untuk menyokong timnas Indonesia di Piala AFF, rasa nasionalisme itu kini semakin meningkat’ uncap Peneliti LSI, Ardin Sopa .
Posting Komentar