Media Bawean, 17 Desember 2011
Oleh : Saini Salleh
Dibina dalam zaman penjajahan Perancis, kini dibangun semula
AZAN yang berkumandang sayup kedengaran di tengah-tengah kesibukan lalu lintas dan riuh-rendah pejalan kaki di Bandar Ho Chi Minh, atau dulunya Saigon.
Pengunjung yang kali pertama menjejakkan kaki di negara bekas jajahan Perancis dan berfahaman komunis-sosialis itu, pasti tertanya-tanya apakah benar laungan azan yang didengar itu.
Mentelah lagi, azan yang dilaungkan itu mirip suara muazin seperti di Malaysia dan Singapura - 100 peratus telor Melayu.
Persoalan tersebut terjawab apabila wartawan menemui bilal dan imam Masjid Al-Rahim yang terletak di Nguyen Van Troi Street di daerah Phua Nuan, dekat bandar tersebut.
Lebih mengujakan ialah imam masjid tersebut, yang juga wakil masyarakat Islam Bandar Ho Chi Minh, Haji Ally, 83 tahun, berketurunan Bawean.
Masjid Al-Rahim itu menyembunyikan 100 rahsia tersendiri - dibina dengan keringat masyarakat perantau dari Pulau Bawean pada 1885.
Namun, masjid yang sudah berusia 126 tahun dan dibangunkan dalam zaman penjajahan Perancis itu kini hampir bertukar wajah.
Ini kerana kerja-kerja membangunkan semula masjid yang usang dan dimamah usia itu kini giat dijalankan.
Dimulakan sekitar dua tahun lalu, projek mengubah masjid daripada tinggi setingkat kepada tiga tingkat itu dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
'Masjid lama sudah terlalu usang... sudah lebih 120 tahun dan tidak dapat tampung jemaah yang ramai kerana hanya satu tingkat.
'Kami lega kerana pemerintah turut hulurkan bantuan untuk kami bina semula masjid ini menjadi tiga tingkat.
'Alhamdulillah, kerja-kerja hampir selesai dan tahun depan kami dapat kerjakan solat Aidilfitri di masjid yang baru nanti,' tambahnya yang telah berkhidmat secara sukarela sebagai imam masjid itu sejak 40 tahun lalu.
Di sebalik wajah serba baru, nama masjid tersebut tetap dikekalkan dan disertakan tambahan kekata IndonesiaMalaysia kerana banyaknya derma diterima dan dimanfaatkan oleh rakyat berasal daripada kedua-dua negara itu.
Menurut Haji Ally, projek tersebut menelan belanja 22 bilion dong Vietnam (VND) ($13.7 juta) dengan 8.5 bilion VND dibiayai oleh pemerintah Vietnam.
Anaknya, Haji Jumaat, 32 tahun, ayah tiga anak, mencelah:
'Dulu sukar berdakwah dan mengadakan kegiatan perayaan Islam tetapi sekarang kami bebas menjalankan pelbagai kegiataan keagamaan.'
'Bantuan yang pemerintah kami berikan menunjukkan rakyat bebas menganut agama masing-masing asalkan kami saling menghormati dan hidup harmoni dengan penganut-penganut agama lain,' tambahnya yang lancar berbahasa Melayu.
Haji Jumaat, yang membantu perniagaan kakaknya, menyatakan beliau telah empat kali ke Singapura untuk menziarai abang angkatnya, Encik Samsuddin, yang menetap di Blok 269 Tampines Street 21.
'Mak cik abang angkat saya pernah tinggal di sekitar masjid dan kerana itu saya amat rapat dengan keluarga mereka.
'Saya suka pergi ke Singapura kerana serba-serbi moden dan saya tidak kekok kerana ramai orang Melayu dan Islam di sana,' katanya.
Sumber : Cyberita Online Singapura