Peristiwa    Politik    Sosial    Budaya    Seni    Bahasa    Olahraga    Ekonomi    Pariwisata    Kuliner    Pilkada   
adsbybawean
Home » » 'Jasawan' Gigih Lestari
Seni Tradisi Bawean

'Jasawan' Gigih Lestari
Seni Tradisi Bawean

Posted by Media Bawean on Selasa, 05 Juni 2012

Media Bawean, 5 Juni 2012 

SENI tradisi asli Pulau Bawean diancam pupus dek arus permodenan dan terjangan pengaruh asing jika usaha melestarikannya tidak dijalankan.

Atas kesedaran itu, tokoh budaya Pulau Bawean, Pak Cuk Sugrito, menubuhkan Lembaga Eskavasi Budaya, atau Beku Bhei Bhei, pada 1998 bagi menghidupkan dan memberi nafas baru kepada seni tradisi Bawean.

Ini termasuk seni seperti mandiling, kerecengan, dhungka, korcak, dikker, pencak, konto, pokolan, gembus, bersanjien, panton panaghen, petoa dan mbuk-mbuk manyang.

Beliau turut membawa anggota kumpulannya mengadakan persembahan di tempat yang ada ramai suku Bawean, seperti Singapura, Malaysia dan Batam.

Atas peranan beliau itu dan usahanya meningkatkan silaturahim sesama suku lelulur di sini, Persatuan Bawean Singapura (PBS) memberinya anugerah 'Bawean Jasawan International' yang julung-julung kali dikeluarkan tahun lalu.

Pak Cuk Sugrito, 69 tahun, berkata beliau terpanggil melestarikan seni asli Bawean kerana semakin kurangnya minat generasi muda terhadapnya.

"Kalau kita tidak lakukan sesuatu, apa akan jadi kepada budaya asli kita yang semakin terhakis dek pengaruh budaya asing? Bangsa yang hilang budayanya adalah bangsa yang bankrap dan rendah nilai-nilai kehidupan dan budi pekertinya,'' kata beliau.

Pak Cuk Sugrito kini lega kerana hasil kegiatan Beku Bhei Bhei, seni tradisi Bawean kembali mewarnai Pulau Bawean.

"Kegiatan seni Bawean ini kian menjadi bahan tarikan pelancong dan promosi wisata daerah Jawa Timur,'' ujarnya.

Mengenai pelibatan beliau dalam Pesta Budaya Bawean yang bakal dianjurkan PBS di Singapura pada 15 September, Pak Cuk Sugrito berkata: "Persembahan budaya yang akan kami tampilkan kelak diharap dapat meningkatkan silaturahim di antara masyarakat pulau Bawean dengan etik Bawean di Singapura.

"Bagi kami juga, penyertaan ini memberi kami dan masyarakat Bawean Singapura peluang mengubat rindu kerana kami pernah membuat persembahan seni kerecengan, mandiling dan bata'ah sempena majlis 'Salam Lebaran' anjuran PBS di sini tahun lalu.''

SHARE :
 
Copyright © 2015 Media Bawean. All Rights Reserved. Powered by INFO Bawean