Peristiwa    Politik    Sosial    Budaya    Seni    Bahasa    Olahraga    Ekonomi    Pariwisata    Kuliner    Pilkada   
adsbybawean
Home » » Meninggal Dunia
Setelah Dihantar Pulang

Meninggal Dunia
Setelah Dihantar Pulang

Posted by Media Bawean on Senin, 12 September 2011

Media Bawean, 12 September 2011 


Oleh Nurul Dayana Simangoon

BELIAU sanggup berjauhan dari isteri dan dua anak kecilnya demi menambah rezeki di Singapura.

Semua itu dilakukan agar keluarganya dapat hidup lebih selesa. Bahkan, beliau merancang membeli rumah di Yogyakarta agar mereka tidak perlu menumpang di kampung ibu bapa mereka.

Malangnya, cita-cita Encik Mawardi, 29 tahun, tidak kesampaian.

Pelaut warga Indonesia itu meninggal dunia malam Ahad lalu, tiga bulan setelah koma selepas menjalani pembedahan otak di sini.

Lebih menyedihkan, beliau menghembuskan nafas terakhir tanpa isteri dan anak disisi sehari setelah dipindahkan ke sebuah hospital di Surabaya - akibat syarikatnya tidak mampu membiayai kos rawatannya.

Ketika itu isteri dan anak sulung Allahyarham yang berusia dua tahun berada di Singapura, namun mereka tidak dapat pulang ke Indonesia bersamanya kerana masalah kewangan.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Pulau Bawean pagi semalam.

Allahyarham, yang telah dua tahun bekerja di sini, dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) selepas pengsan sewaktu bertugas pada Mei lalu dan kemudian disahkan menghidap barah otak.

Ketika ditemui semalam, isteri Allahyarham, Cik Siti Chasanah, 29 tahun, berkata beliau terkilan kerana tidak sempat bertemu suaminya buat kali terakhir.

'Kali terakhir kami berbual menerusi telefon ialah sehari sebelum Mawardi collapse (rebah) di kapal. Katanya dia teringin sangat bertemu saya dan anak kedua kami yang baru lahir dan rindu akan kami sekeluarga,' ujarnya, dengan genangan air mata.

Menurut Cik Siti, beliau bergegas ke Singapura sebaik sahaja diberitahu bahawa suaminya sakit.

Ketika itu beliau baru seminggu melahirkan anaknya.

Bak jatuh ditimpa tangga, setelah tiga bulan Allahyarham koma, majikannya, Hai Hup Huat Marine Pte Ltd, memberitahu mereka ia tidak mampu membiayai bil perubatan beliau, yang telah mencapai sekitar $175,000.

Oleh kerana beliau tidak mampu melunas bil hospital suaminya, Cik Siti bersetuju agar beliau dipindahkan dari NUH ke Surabaya.

Ketika dihubungi, penyelia Allahyarham, yang tidak ingin namanya disiarkan, menjelaskan kos rawatan tidak dapat dilunas melalui insurans kerana Allahyarham dirawat di hospital akibat penyakit bukan kecelakaan di tempat kerja.

Menurut beliau, pihaknya telah berusaha membantu Allahyarham dan menghabiskan $30,000 bagi menghantarnya ke Surabaya.

Nama syarikat itu tidak tertera pada kontrak kerja Allahyarham yang diperiksa Berita Harian.

Cik Siti mendakwa rayuannya kepada Kedutaan Indonesia agar mendapatkan bantuan supaya beliau dapat pulang bersama suaminya ke Surabaya dan membayar kos rawatannya di sana tidak mendapat sebarang respons.

Usaha Berita Harian mendapatkan penjelasan daripada kedutaan tersebut tidak berhasil sehingga akhbar ini dicetak malam tadi.

Cik Siti dijangka pulang pagi ini, selepas mendapat bantuan kewangan daripada saudara dan teman-teman suaminya di sini. Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

SHARE :

1 comments:

danudani 13 September 2011 pukul 11.27

sungguh kasian,....semoga yang ditinggalkan tabah menerima cobaan, cobaan yang setimpal akan menemukan kebahaiaan yang lebih dari itu.....

Posting Komentar

 
Copyright © 2015 Media Bawean. All Rights Reserved. Powered by INFO Bawean