Peristiwa    Politik    Sosial    Budaya    Seni    Bahasa    Olahraga    Ekonomi    Pariwisata    Kuliner    Pilkada   
adsbybawean
Home » » Tidak Sempat
Pimpin Wisata Korban ke Batam

Tidak Sempat
Pimpin Wisata Korban ke Batam

Posted by Media Bawean on Selasa, 01 November 2011

Media Bawean, 1 November 2011

Mantan Setiausaha I Persatuan Bawean Singapura 
meninggal ekoran serangan jantung

Oleh : Saini Salleh

SEJAK lebih sebulan lalu, Haji Mohamed Arifin Mohamed Salleh begitu sibuk membuat persiapan bagi wisata korban selama dua hari di Batam pada Aidiladha ini.

Hasil kerja keras solonya itu - daripada menempah tiket feri, bilik hotel, pengangkutan dan kambing-kambing korban - lebih 20 peserta telah mendaftarkan nama dan bilangan kambing pula mencecah lebih 60 ekor.

Upacara korban itu akan dilangsungkan di rumah anak-anak yatim yang juga pesantren kelolaan Yayasan Al-Fateh di Nongsa.

Namun, Haji Arifin, 56 tahun, dan ayah dua anak, tidak sempat memimpin rombongan itu malah tidak dapat menyaksikan upacara itu.

Beliau diserang penyakit jantung di flatnya di Blok 627 Woodlands Avenue 6, sekitar 9 malam Sabtu lalu.

Menurut anaknya, Encik Mohamed Adib Asraf, 24 tahun, ayahnya meninggal dunia sejurus dikejarkan ke hospital.

'Kami sekeluarga masih terkejut kerana ayah pergi secara mendadak.

'Kami lebih sedih kerana ayah tidak dapat bawa rombongan dan lihat sendiri upacara korban di Batam itu,' tambahnya.

Namun, wisata korban itu tetap akan diteruskan dengan bantuan adik Allahyarham, Encik Nor Rahman.

Mantan setiausaha dan aktivis Persatuan Bawean Singapura (PBS), Haji Morni Sulaiman, menyatakan bahawa Allahyarham yang pernah menjadi Setiausaha I dari 2006 hingga 2009, memainkan peranan penting dalam meningkatkan profil PBS pada mata masyarakat.

'Beliau menganjurkan ceramah-ceramah berkaitan isu-isu yang menghantui masyarakat Melayu seperti masalah perceraian, remaja terlanjur dan belia bertatu.

'Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat Bawean bukan sahaja di Singapura malah di Batam, Tanjung Pinang, Jakarta dan Pulau Bawean,' tambah Haji Morni.

Menurutnya lagi, Allahyarham yang terus berusaha meningkatkan ukhuwah masyakarat Bawean Singapura dengan masyarakat Bawean di Batam juga kerap menganjurkan wisata amal dan mengumpul dana bagi membantu mendirikan dan menyenggarakan rumah anak-anak yatim di Tanjung Pinang dan Batam.

Satu lagi projek yang tidak sempat diteruskan Allahyarham ialah Pesta Budaya Bawean di Batam pada Jun tahun depan.

'Allahyarham mengaturkan segala-galanya dengan pemimpin masyarakat Bawean dan pegawai pemerintah di Batam. Macam mana nak teruskan kerana beliau dah tak ada,' tambah Haji Morni.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Abadi pagi kelmarin.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

SHARE :
 
Copyright © 2015 Media Bawean. All Rights Reserved. Powered by INFO Bawean